Untuk memulakan sejarah ini wajarlah kita simak dahulu peristiwa sebelumnya agar kita juga dapat mengetahui sejarah bangsa-bangsa ketika itu. Nanti kita akan dapat melihat perbedaan mereka sebelum dan setelah kedatangan Rasulullah saw. Kedatangan pemimpin dari Tuhan itu telah mengubah Jaziratul Arabiah dan dunia. Dalam masa hanya dua puluh tiga tahun, Rasul itu telah berjaya membawa bangsanya dari sebuah bangsa yang diperhambakan kepada sebuah bangsa yang disegani lawan dan kawan. Semua itu hanyalah karena mereka telah diperkenalkan kepada Allah SWT.
Akhirnya mereka jatuh cinta kepada Dzat Yang Maha Agung itu. Lalu mereka sangat takut terhadap-Nya. Akhimya mereka layak menjadi pemimpin dan penyelamat kemanusiaan. Demikianlah rahmat besar yang dibawa oleh Baginda Rasulullah Muhammad saw. Benarlah kedatanganmu adalah rahmat, wahai Rasulullah.
Allah Memerintahkan Nabi Ibrahim Membangun Kabah (Episode 1)
Allah SWT telah memerintahkan Nabi Ibrahim a.s membawa isteri dan anak kecil kesayangannya, Nabi Ismail, untuk ditinggalkan di Mekah. Mekah ketika itu hanyalah sebuah wadi gersang dan kering-kontang. Namun di situlah Kabah dibangun oleh Nabi Ibrahim. Di situlah Rumah Allah dan tanahnya dimuliakan sebagai Tanah Haram. Demi menunaikan perintah Allah SWT, Nabi Ibrahim a.s telah meninggalkan isteri dan anaknya Nabi Ismail a.s di situ. Siti Hajar merasa terkejut karena di kawasan itu tidak ada air dan makanan bahkan tiada manusia dan kehidupan sama sekali. Namun dia akan ditinggalkan bersama seorang bayi kecil.
Foto Kota Mekah di Masa Lalu |
Ketika Nabi Ibrahim a.s ingin meninggalkan tempat itu, Siti Hajar mengikutinya sambil bertanya kepada suaminya mengapa dia ditinggalkan sendirian di situ. Namun Nabi Ibrahim a.s tidak mengindahkannya. Akhirnya Siti Hajar bertanya, “Apakah Allah yang memerintahkan agar aku ditinggalkan di sini?” Nabi Ibrahim a.s, menjawab, “Benar wahai isteriku.” Mendengar jawaban itu, Siti Hajar dengan hati yang beriman kepada Allah berkata, “Kalau begitu, sudah pasti Allah tidak akan mensia-siakan kita.” Dia yakin, pasti akan ada pembelaan dari Allah, Tuhan yang Maha Baik itu. Tinggallah Siti Hajar di situ sendirian ditemani si anak kecil.
Si anak menangis kehausan karena susu Siti Hajar sudah mulai kering. Tiada yang dapat dilakukan olehnya melainkan meminta kepada Allah SWT. Sambil meminta kepada Tuhannya, Siti Hajar berlari ke bukit Safa. Dari Bukit Safa, dia berlari pula ke bukit Marwa dengan harapan ada orang lewat di situ. Namun tiada sesiapa yang ditemuinya. Berkat rintihan hati Siti Hajar yang sangat yakin bahwa Allah SWT tidak akan mensia-siakannya, Allah SWT telah mengirim Malaikat Jibril menyingkap telaga Zam-zam dengan ujung sayapnya. Lalu terpancarlah air itu dari hentakan kaki anak kecilnya, bakal seorang Nabi. Inilah sejarah Zam-zam yang kekal hingga ke hari ini.
Peristiwa ini berlaku selepas sebuah bendungan besar di Yaman yang dikenali dengan nama Sad Ma’ribpecah. Ia adalah sebuah bendungan besar yang menjadi sumber air dan sumber kehidupan kepada rakyat Yaman. Bendungan ini dibangun oleh kerajaan Saba’ yang terkenal dengan kepakaran seni bangunan. Mereka membina bendungan ini untuk menampung air hujan yang akan dimanfaatkan untuk keperluan harian dan pertanian mereka.
Apabila mereka kufur terhadap nikmat-Nya, Allah telah menghukum mereka dengan dihancurkannya bendungan itu yang menyebabkan berlakunya banjir besar. Akhirnya penduduk Yaman yang merupakan bangsa Arab terpaksa berpindah mencari kehidupan dan tempat tinggal yang baru. Sejak itu, bertebaranlah bangsa Arab ke seluruh Semenanjung Arab mencari kehidupan baru. Bani Tsaqif telah berpindah ke Taif, Bani Aus dan Bani Khazraj berpindah ke Madinah, Bani Ghasasinah berhijrah ke Syam, manakala Bani Manazirah pula berhijrah ke perbatasan Iraq.
Foto Bendungan Sad Marib
|
Tidak berapa lama setelah peristiwa Zam-zam itu, berlaku suatu lagi ketentuan Tuhan. Bani Jurhum sedang dalam perjalanan mencari tempat tinggal baru. Ketika melewati dekat lembah Mekah, mereka heran apabila melihat kawanan burung berterbangan di kawasan itu. Kewujudan burung-burung itu menandakan adanya air di kawasan itu sedangkan mereka sangat tahu di kawasan itu tidak ada sumber air. Apabila diperiksa, ternyata memang ada air di situ. Malah mereka mendapati ada seorang wanita bersama anak kecilnya di mata air itu. Bani Jurhum yang terkenal dengan sifat baik itu, tidak merampas Zam-zam dari Siti Hajar.
Mereka telah meminta kebenaran untuk berkongsi air dengannya. Malah mereka sanggup membayar sewa telaga air itu kepada Siti Hajar. Demikianlah Allah yang Maha Baik tidak mensia-siakan hamba-Nya yang bergantung sepenuhnya dengan rahmat-Nya. Ini juga keberkatan doa dan rintihan hati seorang Nabi. Nabi Ibrahim, karena perintah Allah dengan hati yang lurus kepada Tuhan telah meninggalkan isteri dan anak kesayangannya di tempat yang mustahil untuk manusia hidup. Namun inilah keyakinan seorang Nabi kepada Tuhannya.
Perintah Membangun Kabah (Episode 2)
Perintah Membangun Kabah
Setelah Nabi Ismail a.s agak dewasa, Allah SWT memerintahkan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail membangun Kabah di atas tapak asas Kabah yang dibangun oleh Nabi Adam a.s. Kabah pertama telah dibangun di zaman Nabi Adam, tetapi ia telah telah runtuh dan tertimbun. Setelah Kabah selesai dibangun, terdapat satu sudut yang tidak dapat disempurnakan karena tiada batu yang sesuai ukurannya untuk diletakkan di sudut itu. Mereka telah berusaha mencari batu yang sesuai, namun tidak dapat ditemukan. Oleh karena itu, Allah telah menurunkan sebuah batu dari syurga. Itulah Hajarul Aswad yang disunatkan pada jemaah haji mengucupnya sampai ke hari ini.
Hajar Aswad |
Ka’bah hanyalah sebuah bangunan batu. Apabila ia selesai dibangun, Allah memerintahkan Nabi Ibrahim melaungkan azan menyeru manusia supaya mendatangi Ka’bah. Nabi Ibrahim bertanya, “Wahai Tuhan, bagaimanakah suara saya akan sampai kepada semua manusia?” Allah berfirman, “Wahai Ibrahim, tugas kamu hanyalah menyeru. Allahlah yang akan menyampaikan kepada manusia.” Untuk melaksanakan perintah Tuhan itu, Nabi Ibrahim mendaki Jabal Arafah dan melaungkan azan menyeru manusia dari seluruh dunia ke Ka’bah.
Maha Besar Tuhan, dengan kuasanya yang tiada batas itu, Allah telah menjadikan seruan Nabi Ibrahim dapat di dengar seluruh manusia ketika itu. Bahkan Allah telah menjatuhkan ke dalam hati-hati manusia rasa cinta dan rasa hormat terhadap Ka’bah. Demikianlah ketaatan mutlak Nabi Ibrahim dalam melaksanakan perintah Allah. Demikian pula Allah yang Maha Berkuasa itu telah menjayakan kehendak-Nya.
Bermulalah manusia berdatangan menunaikan haji di Ka’bah khususnya dari Semenanjung Arab. Tiada siapa mengajarkan dan mengarahkan mereka tetapi mereka telah membesarkan dan memuliakan Ka’bah. Bermulalah ibadah Haji dengan kuasa Allah. Dari situ tersebarlah agama kebenaran sehingga akhirnya seluruh bangsa Arab menganut agama Nabi Ibrahim. Allah-lah yang telah memenangkan agamanya tanpa campur tangan siapa pun. Bukankah ini kebenaran janji Allah dalam Quran-Nya? Firman Allah:
“Tiadalah kemenangan itu melainkan semata-mata kurniaan dari Allah.”
Baca Lanjutannya: Bermulanya Syirik di Jazirah Arab (Kisah Nabi Muhammad Part 1 Episode 3)