Bermulanya Syirik di Jazirah Arab - Kisah Nabi Muhammad Part 1 episode 3

01 Maret
Bermulanya Syirik di Jazirah Arab
Selepas itu datang seorang pemimpin Arab dari Bani Khuza’ah yang dikenal sebagai Amru bin Luhayy membawa Bani Khuza’ah menyerang Bani Jurhum dan mengusir mereka keluar dari Mekah. Seterusnya Bani Khuza’ah menguasai Mekah. Amru bin Luhayy adalah orang pertama yang memperkenalkan berhala kepada kaumnya yang kemudian tersebar ke seluruh kabilah Arab yang lain.

Karena dia orang yang kaya dan dermawan, maka dia telah menggunakan pengaruhnya dengan menyediakan layanan dan keperluan kepada sesiapa saja yang datang mengerjakan haji ke Mekah ketika itu. Kekayaan dan kedermawanannya itulah yang telah mempengaruhi penduduk Mekah sehingga mereka mendengar segala kata-kata Amru dan menurut segala perintahnya agar menyembah berhala. Amru telah menukar talbiah tauhid kepada talbiah syirik. Talbiah tauhid yang disunatkan untuk jemaah haji membacanya ketika Ihram telah dirubah.

“Ketaatan hanya untuk-Mu ya Allah, tiada sekutu bagi-Mu, sesungguhnya pujian dan nikmat hanya untuk-Mu,tiada sekutu bagi-Mu”
Amru bin Luhayy telah merubah talbiah ini menjadi:
“Tiada sekutu bagi-Mu melainkan sekutu yang menjadi milik-Mu. Engkau memilikinya dan segala kepunyaannya.”
Talbiah yang mengesakan Tuhan ini telah diubah menjadi talbiah yang mensyirikkan Tuhan. Malah Amru telah mencipta binatang-binatang yang suci pula untuk ditaqdiskan oleh masyarakat. Dia menamakannya Saaibah, Bahiirah, Haami. Haami adalah seekor unta betina yang telah melahirkan sepuluh ekor unta jantan. Unta ini tidak boleh ditunggangi lagi, tidak boleh disembelih, tidak boleh disakiti bahkan ia mesti dimuliakan dan dipuja.

Setiap kabilah mencipta berhala mereka sendiri. Terciptalah Hubal sebagai berhala orang Mekah, Wud berhala Bani Kilab, Suwa berhala Bani Huzail, Yaghuus berhala Bani Thoyyik dan penduduk Jerash, Yauu’qa berhala Bani Hamazan dan Nasr berhala orang Yaman. Ada dua berhala yang bernama Isaf dan Nailah mempunyai rahasia tersendiri.

 Kedua berhala ini diletakkan di Ka’bah dan disembah. Diceritakan Isaf adalah seorang pemuda dari Yaman dan Nailah adalah seorang gadis juga dari Yaman. Mereka telah bercinta tetapi keluarga mereka telah menghalang percintaan mereka. Mereka berjanji untuk lari dan bertemu di Mekah pada musim haji. Akhirnya mereka telah berzina di tepi Ka’bah tetapi tidak ada seorang pun mengetahui kejadian itu. Kemurkaan Allah telah menjadikan mereka berdua menjadi batu sebagai pengajaran dan peringatan kepada masyarakat.

 Selepas itu Isaf diletakkan di Safa dan Nailah diletakkan di Marwah. Apabila Amru bin Lahayy masuk ke Mekah, dia telah memindahkan kedua-dua batu ini ke Ka’bah. Akhirnya masyarakat sudah lupa asal-usul batu ini malah mereka menjadikan dua batu ini ‘Tuhan’ yang disembah. Demikianlah penyembahan berhala telah semakin meluas di Semenanjung Arab. Demikianlah manusia menjadi sesat apabila terputusnya pimpinan wahyu dari Tuhan.

Pernah Sayidina Umar ketika menjadi Amirul Mukminin dilihat oleh para sahabat & menangis dan kemudian tertawa tanpa sebab yang dapat difahami. Apabila ditanya, “Wahai Amirul Mukminin, mengapa kami melihat kamu menangis kemudian tersenyum?” Sayyidina Umar pun bercerita, “Dulu aku dan kaum Quraisy sebelum Allah datangkan rahmat Islam, kami sangat membenci anak perempuan.

Aku telah mendapat seorang anak perempuan dan dari saat kelahirannya kebencianku sudah bermula, tapi aku pendam rasa benci itu hingga dia berumur enam tahun. Ketika itu aku sudah tidak tahan lagi, lalu aku bawa dia ke padang pasir dan aku gali lubang untuk menguburkannya di situ. Anakku menyangka aku membawanya berjalan-jalan dan bermain-main. Lalu dia juga turut membantuku menggali lubang.

 Apabila lubang telah siap, aku mendorongnya ke dalam lubang dan aku mulai menimbunnya dengan pasir. Anakku yang masih belum tahu niatku, masih menyangka aku bermain-main telah menolong mengibaskan pasir dari janggut dan pakaianku. Namun akhirnya aku timbun dia hidup-hidup tanpa belas kasihan. Inilah kehidupan kami sebelum kedatangan Baginda Nabi Muhammad saw. Kami memuliakan anak lelaki dan menghina anak perempuan bahkan membunuh mereka hidup-hidup. Mengenang kebodohan dan kekejamanku itulah aku menangis.”

Sayyidina Umar menyambung lagi, “Adapun rahasia tersenyumku, satu hari aku keluar dari Mekah. Sudah menjadi tradisi kami, kalau keluar dari Mekah biasanya akan membawa batu dari Mekah untuk dijadikan sembahan kami. Pada hari itu aku terlupa untuk membawa batu tapi aku membawa banyak tamar. Dengan tamar itulah aku ciptakan berhala kemudian aku sembah berhala itu. Apabila makanan aku habis dan aku menghadapi kelaparan yang amat sangat, terpaksalah aku makan berhala tamar yang aku sembah itu sedikit demi sedikit. Bila aku teringat peristiwa itu, aku ketawa sendiri.”

Begitulah kehidupan bangsa Arab Jahiliyah sebelum kedatangan agama Islam. Alangkah hebatnya Baginda Nabi Muhammad saw yang telah berjaya mengubah bangsa Arab Jahiliyah ini menjadi peribadi yang sangat agung.

Baca Lanjutan: Kedatangan Agama Yahudi ke Jazirah Arab - Kisah Nabi Part 1 Episode 4

Introvert Yang Senang Baca Buku dan Traveling Allah mengangkat orang-orang beriman di antara kamu dan juga orang-orang yang dikaruniai ilmu pengetahuan hingga beberapa derajat. ( al-Mujadalah : 11 )

Artikel Terkait

Previous
Next Post »